Rabu, Oktober 24, 2012

Hubungan Kandungan Falsafah Pendidikan Kebangsaan Dengan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu



Hubungan Kandungan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan dengan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu

Pendidikan peringkat rendah adalah  bertujuan untuk melahikran insan yang seimbang serta berkembang secara menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani (JERI) selaras dengan hasrat Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah dan Falsafah Pendidikan Negara. Pada peringkat ini, Bahasa Melayu diajarkan sebagai mata pelajaran wajib, selaras dengan status Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Bahasa Melayu perlu dikuasai pada peringkat awal bagi membolehkan murid-murid berkomunikasi dan menimba ilmu pengetahuan, seperti kata pepatah Melayu, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah telah memuatkan senarai kemahiran asas berbahasa dan tatabahasa yang perlu dikuasai oleh murid dari Tahun 1 hingga Tahun 6. Kemahiran-kemahiran berbahasa ini meliputi kemahiran lisan (mendengar dan bertutur), membaca, dan menulis. Tatabahasa pula meliputi aspek morfologi dan sintaksis bahasa Melayu (Abdullah Hassan, 1996).
Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah ini mengandungi perincian, penjelasan serta huraian tentang Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu. Di dalam Huraian Sukatan Pelajaran ini, dimuatkan senarai kecekapan berbahasa dalam kemahiran mendengar dan bertutur, membaca, menulis, tatabahasa, penjodoh bilangan, peribahasa, dan perbendaharaan kata yang sesuai bagi peringkat persekolahan murid. (Roselan Baki, 2003).
Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu untuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina (C) dan Tamil (T) disempurnakan dengan mengambil kita tahap kebolehan dan kemampuan murid di SJK(C) dan (T). Oleh itu, Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu untuk SJK(C) dan (T) agak berbeza daripada Sekolah Kebangsaan dari segi huraian, senarai kemahiran berbahasa, contoh-contoh peribahasa, tatabahasa, dan jumlah perbendaharaan kata yang dicadangkan.
Huraian Sukatan Pelajaran ini merupakan satu cadangan,tidak seharusnya guru-guru terikat kepada cadangan-cadangan yang dikemukakan. Sekiranya terdapat ada di antara cadangan-cadangan ini tidak sesuai dengan keadaan bilik darjah, guru-guru boleh mengubah dan menyesuaikannya dengan kebolehan dan kemampuan murid. Huraian sukatan pelajaran ini juga boleh digunakan untuk merancang pengajaran dan pembelajaran mengikut penggal, mingguan, dan harian di dalam bilik darjah (Prof. Madya Dr. Nuraini Yusoff, 2003).
Matlamat mata pelajaran Bahasa melayu sekolah rendah ialah untuk melahirkan murid yang berketrampilan berbahasa dan menghargai serta menghayati bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Negara, bahasa perpaduan dan bahasa imu selaras dengan kesesuaian semangat prinsip Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu dan usaha ini adalah semata-mata bertujuan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan dan berakhlak mulia.
Untuk melihat sama ada objektif Sukatan Pelajaran dapat dikaitan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, disini dapat  kita fokuskan apakah objektif Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu yang telah digubal oleh Kementerian Pelajaran untuk rakyat terutama sekali kepada insan yang bergelar murid di Malaysia. Bahawa dengan itu, barulah kita dapat melihat adakah Sukatan Pelajaran yang digubal selama ini mempunyai kaitan atau menjiwai ‘roh’ dan semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Jika ia mempunyai kaitan, kita telah pun berada di jalan yang betul dalam usaha untuk memartabatkan semangat Falsafah Pendidikan melalui Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu yang diajar di sekolah rendah di Malaysia. Cuma beberapa pendekatan yang terbaik perlu diberi tambah nilai dari masa ke semasa untuk memantapkan pengakaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.
Menurut kandungan Sukatan Pelajaran, setelah mengikuti pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah, murid-murid dapat:
• Mendengar, memahami dan menghayati pertuturan yang terdapat dalam kehidupann sehari-hari;
• Bertutur dengan petah dan mengeluarkan buah fikiran yang bernas serta menggunakan bahasa yang sesuai dan bertatasusila;
• Membaca dan memahami isi bacaan yang sesuai dengan kematangan;
• Menjadikan pembacaan sebagai satu kebiasaan dan amalan bagi mendapatkan pengetahuan dan hiburan;
• Menulis pelbagai jenis karangan dan surat kiriman mengikut tajuk dan format yang betul;
• Memahami dan mengisi borang yang sesuai dengan betul;
• Menghargai dan menghayati nilai-nilai estetika dalam karangan prosa dan puisi;
• Menggunakan Bahasa Melayu untuk memperoleh pelbagai ilmu;
• Menggunakan Bahasa Melayu yang betul dalam lisan dan penulisan;
• Memberi makna dan menggunakan peribahasa dalam konteks yang betul dan sesuai;
• Menggunakan Bahasa Melayu dengan berkesan untuk berkomunikasi antara ahli masyarakat yang berbilang keturunan.
Strategi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di peringkat sekolah rendah menekankan penggabungjalinan, penyerapan, penilaian, pengayaan, dan pemulihan. Ini selaras dengan usaha memenuhi konsep bersepadu dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Namun demikian, guru-guru adalah digalakkan untuk menggunakan pelbagai kaedah mengajar yang sesuai dengan kebolahan murid (Roselan Baki, 2003). Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran adalah bergantung kepada pengolahan teknik dan penggunaan bahan bantu mengajar yang dapat merangsang dan menggalakkan murid-murid berkomunikasi, berinteraksi dan berfikir.
Kesimpulan
Setelah melihat objektif dan matlamat sukatan pelajaran Bahasa Melayu secara jelas seperti yang dinyatakan di atas, apakah kita dapat menghuraikan apakah terdapat kaitan antara Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan?
Dengan merujuk kepada definisi Kurikukum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR), matlamat serta ciri-ciri KBSR itu sendiri, saya dapati KBSR mampu mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Falsafah Pendidikan Kebangsaan menyatakan bahawa pendidikan itu suatu proses yang berterusan. Sebagai saluran pendidikan pada peringkat awal, KBSR sememangnya memikul tugas yang amat berat. Ini kerana pada peringkat permulaannya segalanya bermula.
KBSR akan memastikan pendidikan yang diberikan kepada pelajar memuaskan dan menepati ciri-ciri yang diinginkan. Pendidikan awal adalah penting kerana ia membentuk asas sahsiah yang akan terus berkembang hingga ke akhir hayat nanti. Oleh itu, KBSR menekankan kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Dengan kemahiran-kemahiran asas yang teguh dan mampat, segala proses pendidikan yang akan ditempuhi oleh pelajar menjadi mudah (Abdullah Hassan, 1996).
KBSR menitikberatkan soal nilai-nilai murni dan semangat patriotisme dalam proses pengajaran dan pembelajarannya. Dengan ini, Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menginginkan insan yang harmoni dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani akan tercapai. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, KBSR bukan sahaja menekankan soal penyampaian ilmu pengetahuan bahkan setiap guru dikehendaki menyelitkan penerapan nilai-nilai murni kepada pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
Selain itu, dalam seminggu hari persekolahan akan terdapat dua masa untuk matapelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Ini melambangkan KBSR amat menitikberatkan soal kesihatan para pelajar supaya pelajar tidak hanya memerah otak dalam sesi pembelajaran matapelajaran lain tetapi mereka juga boleh berekreasi dan menenangkan fikiran dengan bersenam dan bersukan.
Unsur Falsafah Pendidikan Kebangsaan ingin melahirkan rakyat yang memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Sehubungan dengan itu, KBSR menekankan kemahiran berfikir dalam sistem pendidikan pada peringkat awal. Melalui ciri ini pelajar bebas meluahkan pendapat dan mencipta sesuatu yang baru. Secara tidak langsung hasil kreativiti pelajar akan terus digilap dan dihargai. Oleh itu, maka lahirlah generasi yang mampu memberi sumbangan dalam pelbagai bidang.

 Bahan rujukan;


1.    Ee Ah Meng. 1996. Pendidikan Di Malaysia 1: Falsafah Pendidikan, Guru dan Sekolah, Shah Alam: Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd.


1.    Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia (2001). Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Matlamat Dan Misi. Pusat Perkembangan Kurikulum.


1.    Pusat Perkembangan Kurikulum (2006).Huraian Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah Bahasa Melayu. Kementerian Pelajaran Malaysia.






 



 

Tiada ulasan: