Selasa, September 04, 2012

ICT Digunakan Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah



Penggunaan ICT dalam P&P dilihat dalam konteks aspek pengajaran guru (guru menggunakan ICT) dan aspek pembelajaran (murid menggunakan ICT). Dalam konteks pembelajaran, penggunaan ICT dalam P&P boleh dikategorikan sebagai tutorial, penerokaan, aplikasi dan komunikasi. Dalam konteks pengajaran pula ICT digunakan sebagai tutor dan alat demonstrasi. Guru berperanan sebagai penyampai maklumat dan memastikan bahawa murid telah mempunyai pengetahuan sedia ada. Oleh itu segala perancangan dibuat mengikut turutan aktiviti supaya objektif pembelajaran tercapai. Dalam konteks pengajaran matapelajaran Bahasa Melayu guru dapat menggunakan sepenuhnya kemudahan ICT iaitu dengan mengaplikasikan sistem ICT untuk membuat perancangan dan penyediaan BBM menggunakan perisian program Microsoft Word membuat perkataan dan ayat-ayat tunggal mahupun petikan, Microsoft Power Point guru dapat menghasilkan persembahan grafik yang menarik dan bersesuaian dengan peringkat umur murid. Perkakasan berupa cakera padat  (CD), VCD, MP3, projektor LCD, kamera digital disamping kemudahan internet memudahkan guru mencari maklumat yang berkaitan dengan pengajaran Bahasa Melayu.
Penggunaan Pembelajaran Bahasa Berbantukan Komputer (PBBK) dalam pengajaran bahasa mempunyai asas yang kuat berdasarkan teori pemBelajaran dan pemerolehan bahasa kedua. Umpamanya dalam Teori Monitor yang dikemukakan oleh Krashen (1981) berhubung dengan pemBelajaran bahasa kedua (B2), beliau menyatakan bahawa terdapat perbezaan antara pembelajaran (learning) dengan pemerolehan (acquisition). Pembelajaran ialah proses yang dilalui oleh pelajar secara sedar atau secara formal, seperti pemelajaran nahu, manakala pemerolehan ialah proses di mana seseorang individu itu mempelajari suatu bahasa tanpa disedari atau tidak melalui cara formal seperti seorang pelajar yang berada dalam suatu persekitaran atau suasana bahasa Inggeris digunakan untuk berkomunikasi dan berinteraksi. Krashen berpendapat bahawa kedua-dua proses ini tidak boleh berlaku serentak. McLaughlin (1985) pula berpendapat bahawa dari sudut realitinya tidak ada garis pemisah yang jelas antara pembelajaran dengan pemerolehan. Pelajar yang sedang mempelajari bahasa secara sedar atau secara formal berkemungkinan akan mengutip atau memperoleh beberapa perkataan frasa, atau ayat dalam bahasa itu tanpa disedarinya.
Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) adalah diasaskan oleh perkembangan dan kemajuan yang pesat dalam bidang mikroelektronik sehingga menghasilkan pelbagai kemudahan teknologi maklumat seperti komputer peribadi, telekomunikasi multimedia dan sebagainya. Seterusnya kemunculan internet telah meluaskan penggunaan ICT dengan jaringan informasi bersepadu sehingga membolehkan diaplikasikan sebagai media komunikasi yang melibatkan teks, bunyi, grafik dan video. Fenomena ini secara langsung mempengaruhi dan mencabar kewibawaan dan kedudukan bahasa Melayu di rantau Nusantara ini.
Penekanan terhadap ICT di era globalisasi dan liberalisasi bermakna penggunaan bahasa Inggeris menjadi semakin penting dan tidak dapat dielakkan oleh masyarakat dunia. Era ICT telah menunjukkan bahasa Inggeris mengiringi kelahiran pertama Internet dunia di Amerika Syarikat dan seterusnya diikuti dengan pengeluar perisian dan perkakasan komputer seperti Microsoft, Dell dan Hewlett-Packard yang semuanya diasaskan oleh mereka yang berbahasa Inggeris. Perubahan persekitaran ini menimbulkan persoalan sama ada mampukan bahasa Melayu digunakan di dalam era ICT sebagai bahasa perantaraan alternatif untuk dimanfaatkan oleh masyarakat bahasanya? Mampukah pengiat-pengiat bahasa Melayu menggunakan ICT sebagai alat penyelidikan, perkakasan, perisian dan aplikasi untuk pembangunan bahasa Melayu?
Sebagai satu pandangan umum, masyarakat bahasa Melayu perlu memperlihatkan sikap terbuka dan kesediaan untuk menghadapi cabaran perkembangan yang pesat dalam ICT dengan pengaruh bahasa asing khususnya bahasa Inggeris. Perlu diakui bahawa bahasa Melayu masih lagi muda dari sudut peristilahan Sains dan Teknologi berbanding dengan Bahasa Inggeris. Usaha supaya bahasa Melayu diterima dalam era siber hanya akan terlaksana jika masyarakat bahasanya mempelajari pengalaman dan kejayaan yang telah dicapai oleh bahasa Inggeris.
Teknologi bersepadu terkini mempunyai kelebihan menggabungkan visual realistik dengan teks dan suara yang berupaya membenarkan murid menggunakannya dalam apa jua cara contohnya dalam pengajaran membunyikan huruf vokal, murid dapat mendengar sebutan vokal dengan lebih jelas dan dapat di ulang-ulang audio tersebut secara tidak langsung dapat membantu kefahaman serta kejelesan intonasi sebutan murid apabila menyebut huruf vokal. Melalui ICT, beberapa perubahan dan pendekatan proses P&P berlaku. Antaranya ialah perubahan fokus daripada pengajaran berpusatkan guru kepada pengajaran berpusatkan pelajar. Dalam hal ini murid menjadi fokus kepada aktiviti pembelajaran yang berorientasikan kepada proses penerokaan dan penemuan berdasarkan kepada teori konstruktivisme.
Melalui penggunaan internet dalam pembelajaran Bahasa Melayu murid boleh menimba ilmu pengetahuan serta contoh-contoh yang pratikal, ini kerana kemudahan hipermedia dan multimedia telah memudahkan pendekatan dan kaedah belajar yang mungkin tidak dapat dilaksanakan sekiranya menggunakan kaedah tradisional. ICT menyediakan kaedah dengan memberi penekanan kepada penciptaan dan penerokaan ilmu secara aktif selain daripada menerima ilmu secara sehala sahaja dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.
Kita berpendapat bahawa kedua-dua proses ini perlu dan tidak dapat dipisahkan dalam pengajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Dengan kata lain, sekiranya sesuatu persekitaran itu, sama ada di bilik darjah atau di luar dilik darjah, kaya dengan input bahasa sama ada dari sudut pendengaran dan pembacaan mahupun percakapan dan penulisan, maka pembelajaran bahasa akan menjadi lebih bermakna kepada pelajar tersebut. Kita mendapati bahawa pembelajaran bahasa berbantukan komputer yang menggunakan multimedia dapat memenuhi permintaan ini. Hal ini demikian kerana kedua-dua proses pembelajaran dan pemerolehan boleh berlaku secara serentak. Langkah ini dapat membantu pelajar menguasai kemahiran Bahasa Inggeris mahupun Bahasa Melayu dengan lebih berkesan.
Suatu lagi konsep yang berhubung rapat dengan konsep pembelajaran dan pemerolehan ini ialah hipotesis monitor (Krashen 1981) yang berfungsi sebagai penapis atau penyunting dalam percakapan atau penulisan yang cuba dilakukan oleh murid. Konsep "affective filter" yang diperkenalkan oleh Dulay dan Burt (1980), yang digunakan dalam hipotesis monitor ini menyatakan bahawa faktor afektif seperti sikap, motivasi, dan personaliti banyak mempengaruhi pemprosesan input bahasa dalam diri. Dengan kata lain, setiap pelajar yang mempelajari bahasa mempunyai mekanisme monitor yang dipengaruhi oleh perasaan, sikap, dan persepsinya sendiri. Murid yang runsing tidak mungkin dapat belajar dengan baik walaupun apa-apa yang didengarnya atau dipelajarinya itu mudah difahami. Ia juga tidak akan dapat menghasilkan percakapan atau penulisan yang baik sekiranya ia mempunyai persepsi bahawa bahasanya lemah, menyangka yang ia akan diketawakan oleh orang lain, dan apa-apa jua perasaan negatif yang ada pada dirinya. Monitor inilah yang menentukan kemampuan seseorang itu untuk memahami input yang didengarinya dan kelancaran lidahnya bercakap atau menulis sesuatu perkataan atau menghasilkan karangan. Dalam hal ini, Krashen dan Terrel (1983) menyarankan supaya guru bahasa memastikan suasana atau persekitaran pembelajaran bahasa itu kondusif, memberangsangkan, dan tidak menekan jiwa atau perasaan pelajar.
Dalam mengaplikasikan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu guru juga boleh merancang pengajaran mereka dengan menerapkan proses pengajaran melalui mel elektronik. Pengguna berkomunikasi dengan menggunakan teks sahaja. Walaupun teknologi terkini menawarkan perkhidmatan video dan suara, komunikasi secara teks didapati digunakan dengan lebih meluas. Guru dan murid dapat berkomunikasi dari komputer peribadi masing-masing dengan menggunakan perisian tertentu, seperti Eudora, Nescape Communicator, dan Microsoft Explorer. Perisian komunikasi ini dapat menyimpan,menghantar, dan mencetak mel elektronik. Penerima mel pula dapat membaca dan membalas mel elektronik ini. Komunikasi melalui mel elektronik dapat berlangsung dalam bentuk formal atau tidak formal.
Mel elektronik membolehkan komunikasi dilakukan dengan cepat dan mudah. Guru dapat menggunakan mel elektronik untuk berunding dengan pelajar yang berada di tempat yang jauh. Walau bagaimanapun, komunikasi melalui mel elektronik ini dianggap tidak sempurna kerana tiada intonasi, ekspresi wajah, dan gerak laku yang turut merupakan unsur penting dalam komunikasi.
Selain itu juga guru Bahasa Melayu boleh menggunakan papan buletin untuk memaparkan maklumat terkini dan bahan pembelajaran. Guru dapat menggunakan papan buletin ini untuk memaklumkan maklumat kursus, seperti latihan, tarikh persidangan, tempat pertemuan, dan bahan berkaitan kepada pelajar.
Tidak ketinggalan juga pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan melalui persidangan dengan cara forum elektronik yang lebih interaktif serta melibatkan lebih banyak pengguna. Sidang konferen ini membolehkan para pengguna membaca dan menulis mesej, serta berbincang secara spontan tentang sesuatu isu. Para guru bahasa Melayu dapat menggunakan sidang ini untuk membahaskan pelbagai isu yang berkaitan dengan bahasa.
Holmes (1999), memberikan pandangan bahawa teknologi dalam P&P memerlukan guru yang bersedia dan fleksibel dalam menggunakan teknologi dalam kaedah pengajaran harian. Elemen yang penting teknologi dalam pengajaran Bahasa Melayu ialah pemahaman guru terhadap isi pengajaran dan implikasi berhubung dengan teknologi. Satu kajian (Bahrudin, Mohamad Bilal & Muhammad Kasim, 2001), menunjukkan bahawa ICT dapat membantu mengatasi kelemahan kefahaman murid terhadap pengajaran tatabahasa secara tradisional serta penglibatan guru dalam penggunaan komputer dan peluang pembelajaran secara konstruktivis untuk melihat keberkesanan penggunaan ICT dalam pengajaran Bahasa Melayu.
Guru juga dapat membina minta murid dalam matapelajaran Bahasa Melayu dengan adanya pembaharuan menghasilkan bahan bantu mengajar (bbm) menggunakan aplikasi ICT iaitu kemahiran powerpoint. Penggunaan BBM powerpoint membolehkan murid membaca petikan yang dipaparkan dengan gaya persembahan powerpoint yang bebeza-beza iaitu menekankan huruf serta perkataan yang terdapat pada petikan disertakan dengan gambar yang berkaitan dengan tajuk pengajaran. BBM ini secara amnya dapat meningkatkan motivasi murid membuat latihan tatabahasa yang dihasilkan dalam powerpoint. Guru juga dapat membantu murid dengan adanya latihan yang disediakan.
Penggabungan ICT dalam P&P memerlukan kemahiran dan komitmen guru secara tekal dan berfokus. Penggunaan komputer dalam pengajaran bahasa ada diperlukan oleh guru BM. Namun, penggunaan yang tidak menyeluruh dari segi keperluan perlu diberikan perhatian. Contohnya, penggunaan komputer dalam kemahiran menulis sepatutnya diberikan perhatian kerana penggunaan komputer mampu membantu pelajar dalam menyususn organisasi teks serta dapat memudahkan penyuntingan dilakukan. Bagi memastikan keberkesanan pengajaran, bahan bantu yang digunakan perlulah dapat membantu guru menyampaikan pengajaran dengan lebih berkesan.
Pendidikan merupakan bidang yang sentiasa mengalami perubahan mengikut kesesuaian dengan perkembangan yang berlaku pada persekitarannya. Perubahan tersebut banyak memberi kesan dalam pendidikan, terutamanya dalam aspek kurikulum. Justeru itu, para pendidik seharusnya bergerak seiringan dengan tuntutan perubahan yang berlaku dalam menyampaikan ilmu pengetahuan. Subjek Bahasa Malaysia merupakan subjek yang penting kerana Bahasa Malaysia juga adalah bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar di Malaysia. Di peringkat sekolah rendah, Bahasa Malaysia juga merupakan subjek teras yang merangkumi pemahaman dan penulisan.
Pembelajaran dengan menggunakan komputer adalah lebih proaktif dan pembelajaran lebih berpusatkan kepada murid. Pelajar akan lebih aktif dalam kelas dengan melihat visual yang dipamerkan pada skrin. Sebagai contoh, pelajar diberikan tugasan untuk membina ayat berdasarkan visual yang dipaparkan. Pelajar lebih berminat dan lebih aktif memberi idea dan pendapat dengan melihat visual dan grafik yang bergerak berbanding dengan gambar yang statik.
Pembangunan perisian pembelajaran berbantukan komputer dalam bidang pembelajaran Bahasa Malaysia khasnya untuk pelajar yang menghadapi UPSR akan dapat memantapkan lagi sistem pengajaran dan pembelajaran. Keadaaan ini sejajar dengan matlamat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memberikan kemudahan infrastruktur asas teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) seperti makmal komputer dan pusat akses sekolah yang mempunyai kemudahan Schoolnet.
Cadangan teknik pengajaran yang akan dilaksanakan dalam sistem pembelajaran adalah seperti pelajar menonton gambar animasi dan multimedia dan pelajar cuba membina karangan dari visual yang dipaparkan. Teknik pengajaran ini akan lebih menggunakan pendekatan didik hibur. Didik hibur ini bermaksud mendidik sambil berhibur, keadaan ini adalah untuk menarik pelajar lebih fokus kepada pengajaran bahasa yang dilaksanakan.

Tiada ulasan: