Selasa, September 04, 2012

Keberkesanan Aplikasi ICT Dalam Proses P&P Bahasa Melayu



Permintaan untuk mendapatkan maklumat dengan segera dan pantas telah merubah senario pendidikan dan pengajaran sekarang. Pengajaran dan pembelajaran cara konvensional hanya terhad di dalam kelas dan tidak mampu melepasi sempadan geografi sesebuah negara. Untuk memastikan sistem pendidikan negara terus menepati aspresiasi masyarakat, maka satu pendekatan dan kaedah baru yang bersifat global harus diteroka.
Oleh yang demikian, satu kaedah baru dibentuk agar penyebaran maklumat dapat dilakukan dengan pantas, tepat, murah, meluas dan sekata. Ini amat penting dilakukan agar pengarjaran dan pembelajaran bahasa Melayu dapat berkembang luas seiring dengan teknologi maklumat yang begitu pesat membangun. Dengan perkembangan teknologi maklumat inilah, kita tidak dapat lari dari menggunakan komputer. Hal ini kerana, komputer merupakan alat termaju masa kini yang berupaya mendapat dan bertukar-tukar maklumat tanpa mengira sempadan dan masa. Atas kesedaran bahawa bahasa Melayu itu harus bergerak maju ke depan. Diikuti dengan adanya laman sesawang seperti www.dbp.com.my yang mengandungi protal-protal  perisian Bahasa Melayu. Melalui pengalaman-pengalaman inilah dapat menyingkap sejauh mana komputer membantu pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Melayu. Penulisan esei saya ini juga akan memfokuskan kepada kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis di samping kemahiran tatabahasa yang sering dititikberatkan dalam sesuatu pengajaran bahasa. Dalam pengajaran bahasa terdapat tiga kemahiran penting yang sering dititikberatkan iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Oleh itu kita lihat sejauh mana komputer dapat memainkan peranannya dalam kemahiran-kemahiran ini.
i)             Kemahiran Mendengar dan Bertutur
Kemahiran mendengar diperlukan dalam pelbagai situasi misalnya ucapan, syarahan, pidato, perbahasan, forum, wawancara, perbualan antara ibu bapa dan ahli keluarga, mendengar nyanyian, puisi, seloka, pantun, gurindam, berita, menonton drama, filem dan sebagainya. Keperluan untuk mendengar ini boleh berlaku di mana-mana sahaja mengikut tujuan sama ada dalam interaksi sosial, mendapatkan hiburan atau maklumat dan pengetahuan.
Kesemua situasi ini boleh kita rakamkan meliputi audio dan video dan dimuatkan dalam satu perisian kursus. Ini dapat dijadikan rujukan utama kepada para pelajar kerana mereka dapat mendengar model menyebutnya dengan betul dan berulang-ulang kali. Setelah mendengar, murid akan mengajuk atau melafazkan bahan yang diperdengarkan itu dengan sebutan, intonasi, gaya dan irama yang betul. selain daripada itu adat resam, disiplin dan sopan santun dalam berinteraksi juga dapat diketengahkan. Misalnya bagaimana hendak memulakan percakapan, bagaimana hendak mencelah dan menyampuk apabila orang lain sedang bercakap.
Teknologi komputer dapat membantu bersedia sebelum pengajaran di dalam kelas dimulakan. Misalnya pelajar boleh melihat dahulu, mendengar dan memahami topik pelajaran yang bakal diajar sebelum masuk ke kelas. Oleh itu, semasa di dalam kelas, pelajar dapat menambahkan pemahaman ketika guru menerangkannya.
Dalam kemahiran mendengar ini proses mendengar yang melibatkan telinga sebagai alat yang menerima bunyi-bunyi bahasa dan otak untuk berfikir dan memahami apa yang didengar ini penting. Namun begitu bagi melengkapkan proses ini latihan diperlukan. Untuk setiap topik di dalam perisian kursus disediakan latihan bagi menguji tahap kefahaman para pelajar sama ada melalui latihan mendengar petikan, perbualan atau sebagainya dan kemudian memilih jawapan yang tepat seperti mana yang telah disediakan di dalam perisian kursus tersebut. Ini melibatkan soalan seperti apakah, siapakah, bilakah atau di manakah. Manakala soalan-soalan seperti mengapakah, bagaimanakah, jelaskan, huraikan, bandingkan, bahaskan dan sebaginya dapat dikendalikan di dalam ruang forum atau sembang, atau melalui e-mail.
Untuk memantapkan pelajar dengan kemahiran bertutur, guru pula memainkan peranan penting di sini. Setelah teknologi komputer digunakan sebagai panduan atau model bagaimana perbahasan atau perdebatan berlangsung, maka di dalam kelas guru boleh memberikan topik-topik tertentu yang difikirkan sesuai dan mampu menarik minat pelajar untuk dibahaskan.
Kita tahu bahawa dalam puisi Melayu terdapat pantun, gurindam, seloka, dan sebagainya. Namun begitu, tahukah kita bagaimana bentuk, gaya, lagu, irama dan intonasinya? Melalui teknologi komputer jugalah kita mampu menonjolkan puisi-puisi Melayu ini dan mengembangkannya di serata dunia dan yang pentingnya model bacaan puisi ini dijadikan contoh kepada para pelajar. Bacaan pantun boleh kita dengar dalam CD-ROM Murid KBSR Bahasa Melayu SK yang dibekalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia ataupun yang boleh dibeli dipasaran mahupun dimuat turun dari laman sesawang www.youtube.com
Untuk kemahiran bertutur, ucapan atau petikan boleh dipertonton kepada para pelajar, misalnya ucapan Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan oleh Menteri Pelajaran Malaysia Tan Sri Muhyidin Yassin. Selain daripada itu, video tentang Sambutan Hari Malaysia.
Model bahasa Melayu lisan yang baik diperlukan kerana apabila pelajar mendengar ia akan meniru model tersebut apabila bercakap nanti. Oleh itu, pemilihan model adalah penting dalam pengajaran bahasa. Di Malaysia sendiri mungkin kita tertanya-tanya intonasi, gaya dan sebutan yang bagaimanakah yang betul dalam bacaan berita, di RTM, TV3 atau NTV7?
Matlamat dalam pengajaran bahasa Melayu ialah kebolehan pelajar bertutur menurut sistem bunyi bahasa Melayu baku, maka model bahasa Melayu amat diperlukan. Dengan teknologi komputer jugalah kita dapat menyebarkan bahasa Melayu di luar negara. Dengan teknologi komputer jugalah kita dapat menyebarluaskan contoh dan model ini yang disahkan oleh pakar bahasa seperti yang akan temui dalam cakera padat “Tatabahasa Bahasa Melayu”.
ii)            Kemahiran Menulis
Antara kemahiran menulis yang saya gunakan dalam pengajaran bahasa termasuklah melalui cara mengirim e-mail kepada rakan dimana tajuk tersebut diajar dalam matapelajaran Bahasa Melayu Tahun 3, ruangan sembang yang terdapat dalam laman sosial seperti Facebook dan Twitter dapat dijadikan sebagai bahan bantu mengajar cara kita mengirim pesanan yang ringkas. Untuk menjayakan kemahiran ini kita hendak mempunyai akaun laman sosisal www.facebook.com mahupun www.twitter.com. Dalam penulisan surat kiriman tidak rasmi, terlebih dahulu saya menjelaskan format surat kiriman tidak rasmi kepada murid di dalam kelas di samping nota yang telah sedia ada. Kemudian diberikan gambar-gambar tempat menarik di dalam negara kita yang di muat turun dari laman sesawang www.google.com.my berserta soalan supaya mereka menulis surat kiriman tidak rasmi menceritakan tempat-tempat yang menarik kepada saya melalui e-mail www.gmail.com.my Selepas itu saya akan meneliti dan memeriksa surat tersebut dari segi isi, format, pemilihan kata dan tatabahasa, dan dihantar semula kepada murid jawapan berserta pembetulan jika ada kesalahan dari segi pemilihan kata dan tatabahasa.
Selain daripada itu, melalui ruangan sembang dan e-mail juga, dikemukakan topik atau isu-isu semasa yang menjadi bualan hangat kepada murid-murid, misalnya kehangatan Sukan Olimpik 2012 yang berlangsung di Kota London. Setiap murid akan mengemukakan pendapat dan pandangan mereka dan secara tidak langsung semua pelajar terlibat dalam perbahasan maya ini di samping mengasah minda dan kemahiran menulis. Penilaian boleh dibuat dari segi sejauh mana penglibatan pelajar dalam sembang tersebut.
Dalam laman web www.dbp.com.my, www.edutv.gov.my, www.tutor.com.my  pula, kita dapat melayari laman-laman untuk berbalas pantun, bersajak, menulis cerita kanak-kanak, cerpen dan peribahasa. Dalam laman berbalas pantun, pelajar atau pelayar laman web ini boleh bertanya khabar, menyatakan perasaan dan sebagainya melalui pantun, mereka juga boleh bersajak. Bagi yang berminat menulis cerita pendek atau cerita kanak-kanak mereka boleh menulis dan hantarkan di laman ini. Keistimewaan ruangan cerita pendek ini ialah pelajar boleh menyambung cerita-cerita ini mengikut kehendak dan imaginasi sendiri. Manakala ruangan peribahasa pula, pelajar boleh menyumbang peribahasa dan makna atau maksudnya di samping memberi kemudahan menggunakan peribahasa ini untuk menulis atau untuk perbualan sehari-hari.
Penggunaan ICT dalam proses pengajaran dapat dijalankan dimana teknik slaid lebih menarik dan dapat menimbulkan minat pelajar. Ini kerana penggunaan slaid dapat merangsang minat murid. Kelainan yang ditunjukkan oleh guru akan menceriakan dan menyeronokkan murid, apatah lagi jika ditambah lagi dengan iringan irama muzik yang bersesuaian, umpamanya pertunjukan slaid tentang kemeriahan sambutan majlis Hari Raya yang dihadiri oleh semua kaum yang terdapat di Malaysia. Namun, teknik slaid memerlukan peralatan yang tertentu. Jika menggunakan teknik ini, pelajar mesti mempunyai daya ingatan yang kuat untuk mengingati gambar-gambar slaid yang telah ditonton.
Dalam menggunakan kaedah bergambar, terdapat beberapa langkah yang perlu diikutidalam menyampaikan pengajaran, iaitu:
·         Gambar yang digunakan mestilah sesuai sebagai bahan bantu mengajar dan tahap peringkat pelajar, disamping tidak mengenepikan aspek kualiti gambar;
·         Guru mengarahkan pelajar meneliti gambar yang disediakan dan memikirkan perkara-perkara yang dapat diperkatakan mengenainya;
·         Pelajar disuruh mencatat idea atau isi penting yang hendak diperkatakan berdasarkan gambar yang dilihat;
·         Aktiviti sumbang saran dapat dijalankan, iaitu pelajar diberikan peluang menyuarakan pendapat dan idea mereka secara lisan dan kemudian guru menulisnya pada papan tulis, sambil menyemak kegramatisan ayat-ayat yang diutarakan.
·         Guru mengadakan sesi perbincangan dengan pelajar tentang isi-isi yang diberikan dan membuat rumusan tentang penyusunan isi-isi penting; dan
·         Pelajar menulis dengan berlandaskan perbincangan yang telah dilakukan.
Teknik carta aliran agak bersistematik mengikut kronologi peristiwa. Teknik ini ada persamaan dengan teknik gambar bersiri, bahawasanya setiap proses itu digantikan dengan frasa-frasa yang menceritakan secara ringkas apa-apa yang berlaku pada setiap peringkat yang dipaparkan.
iii)          Kemahiran Membaca
Untuk meningkatkan kemahiran membaca di kalangan pelajar, misalnya membaca berita, laporan, pengumuman, taklimat dan sebagainya, contoh atau model diberikan dalam perisian kursus supaya pelajar dapat meniru model bahasa lisan yang baik.
Dalam cakera padat yang dibekalkan oleh KPM misalnya, disediakan audio dan teks yang dianimasikan mengikut sebutan yang diperdengarkan. Ini membantu pelajar menyebut dengan cara yang betul dan boleh diulang berkali-kali mengikut keperluan masing-masing.
Paparan dalam cakera padat ini juga disediakan dengan menarik. Umpamanya selain teks dan audio, elemen-elemen multimedia yang lain seperti video, grafik, imej dan animasi untuk memudahkan pemahaman pelajar dalam sesuatu topik yang dipelajari. Misalnya dalam satu skrin terdapat teks “Anggota bomba menaikkan tangga”. Ada animasi imej anggota bomba yang sedang menaikkan tangga dan “voice over” yang menyebut ayat tersebut. Begitu juga dengan teks, animasi, imej dan voice over “Anggota bomba menaiki tangga untuk menyelamatkan mangsa kebakaran itu”. Kedua-dua ayat ini mempunyai perbezaan yang ketara dan visual akan memudahkan para guru menjelaskannya kepada murid dan begitu juga sebaliknya, gabungan elemen-elemen multimedia dapat membantu dan memudahkan pemahaman murid.
iv)          Kemahiran Tatabahasa
            Selain daripada kemahiran berbahasa, kemahiran tatabahasa juga merupakan salah satu daripada elemen penting yang perlu dikuasai. Mungkin bagi sesetengah orang, tatabahasa merupakan sesuatu yang membosankan. Namun begitu, melalui teknologi komputer ini mampu untuk kita menangani masalah ini. Misalnya di dalam cakera padat yang dibekalkan oleh KPM, penerangan tentang konsep disampaikan dengan memberikan definisi, huraian, contoh dan latihan.
Sesuatu topik tatabahasa dimulakan dengan bahan rangsangan yang memperkatakan tentang tema kemalaysiaan kerana di sini kita boleh turut memperkenalkan adat, budaya dan topik tatabahasa tersebut. Setelah pelbagai corak, gaya dan bentuk dan dipersembahkan dengan bantuan elemen-elemen multimedia seperti audio, video, animasi, teks dan grafik, diikuti pula oleh latihan.
Soalan latihan yang boleh disediakan melalui teknologi komputer ini ada pelbagai jenis, misalnya soalan aneka pilihan, betul dan salah, padanan, seret dan letak, mengisi tempat kosong dan sebagainya. Apa yang menariknya, setiap pilihan jawapan itu disediakan dengan respons yang menyatakan sebab-sebab jawapan itu salah atau betul. Dengan cara ini pelajar dapat belajar sesuatu walaupun jawapan pilihannya salah.
Satu lagi keistimewaan cakera padat yang dibekalkan oleh KPM ataupun melalui laman sesawang www.adap.com.my ialah terdapatnya petua, nasihat, petunjuk atau panduan yang berguna kepada para pengguna untuk memahami tatabahasa bahasa Melayu.
Begitu juga dengan prototaip yang dibina untuk warna-warna Malaysia iaitu gabungan laman web (yang mencerminkan tentang geografi, tempat-tempat menarik, budaya dan ekonomi di Malaysia) dengan cakera padat, Belajar Bahasa Melayu. Dalam topik kata tanya misalnya, sediakan bahan rangsangan iaitu perbualan di kaunter pertanyaan di sebuah hotel. Setelah memperkenalkan kata tanya dan ayat tanya tersebut, diikuti pula dengan definisi dan huraian serta penerangan tentang kata tanya dan ayat tanya serta contoh-contohnya. Untuk memantapkan lagi kefahaman pengguna, sediakan soalan-soalan yang berkaitan dan jawapan atau respons bagi setiap pilihan jawapan.
Berdasarkan perbincangan ini, jelas teknologi komputer mampu dan berupaya untuk membantu dalam pengajaran bahasa Melayu yang bersifat global. Dengan teknologi yang ada kita dapat berkongsi maklumat dan idea dari seluruh pelosok dunia tanpa mengira waktu dan tempat. Dengan adanya teknologi ini pelajar dapat belajar bahasa mengikut kesesuaian masa mereka sendiri. Kita amat jelas, mengajar bahasa memang tidak cukup hanya 12 waktu dalam seminggu untuk pengajaran Bahasa Melayu tahun 3, selebihnya murid sendiri perlu berusaha memantapkan lagi penguasaan bahasa mereka. Oleh itu, dengan adanya teknologi komputer ini, dengan cakera padat, laman web dan sebagainya membantu mereka belajar sendiri dan peranan utama pengajar, menolong dan memudahkan pelajar belajar sendiri.




Tiada ulasan: