Khamis, September 20, 2012

Jenis-jenis Penilaian Bahasa



JENIS-JENIS PENILAIAN BAHASA
1 .UJIAN FORMATIF

Penilaian yang dijalankan bagi tujuan memperoleh maklumat bagi memperbaiki kurikulum dikenali sebagai penilaian formatif. Penilaian ini dijalankan sepanjang masa dan maklumat yang diperolehi daripada penilaian ini digunakan secara terus menerus. Penilaian lazimnya mendatangkan kesan Hal ini demikian kerana penilaian sering kali menimbulkan ketegangan. Dengan itu, penilaian formatif cuba mengurangkan ketegangan tersebut tanpa membandingkan pencapaian antara murid.
Guru seharusnya memberikan penerangan dan bimbingan kepada murid dan ibu bapa akan kegunaan serta tujuan penilaian formatif. Ujian yang dibentuk dalam penilaian ini seharusnya bercorak ujian diagnostik yakni yang dapat memberikan input akan masalah yang dihadapi murid dalam mengikuti pembelajaran. Ujian dijalankan sepanjang masa pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Manakala maklumat yang diperolehi hendaklah digunakan serta merta dalam memperbaiki pengajaran dan pembelajaran agar pelajar dan guru sama-sama memperolehi manfaat daripadanya. Dengan itu penilaian ini bukan sekali-kali bertujuan membandingkan pencapaian murid sebaliknya ingin membantu murid. Dengan itu, tidak ada gred diberikan. Contoh penilaian formatif seperti sesi soal jawab, latihan yang diberikan guru dan ujian di bilik darjah yang tidak ditentukan gred.
2 .UJIAN SUMATIF
Berbeza dengan penilaian formatif yang lebih menumpukan menilai tahap penguasaan pelajar dalam satu-satu topik pembelajaran, penilaian sumatif bertujuan untuk menentukan pencapaian pelajar pada akhir sesuatu penggal persekolahan dan digunakan untuk menentukan keberkesanan sesuatu kurikulum secara keseluruhan.
Tujuan penilaian sumatif bukanlah untuk membantu murid-murid secara individu dalam meningkatkan pencapaian. Tujuan penilaian sumatif ialah untuk menentukan sejauh mana objektif-objektif sesuatu bidang mata pelajaran yang telah disampaikan oleh guru semasa pengajaran pembelajaran berlangsung di bilik darjah telah dicapai oleh murid-murid. Dengan berdasarkan objektif yang telah ditetapkan melalui pembinaan jadual penentuan ujian, peratusan objektif yang dapat dicapai oleh pelajar dapat diketahui.
Kedua, penilaian sumatif bertujuan memberikan gred kepada murid-murid berdasarkan pencapaian yang ditunjukkan dalam peperiksaan yang diadakan. Dengan adanya gred yang diberikan, akan memudahkan guru untuk membuat perbandingan antara individu dalam satu-satu bilik darjah atau membuat perbandingan mengikut tingkatan atau kumpulan pelajar. Dengan cara ini guru boleh membuat kesimpulan peringkat pencapaian pelajar mengikut kumpulan tertentu misalnya kumpulan pelajar lemah, sederhana dan cemerlang. Contoh penilaian sumatif seperti penilaian pada akhir penggal, peperiksaan percubaan, UPSR, PMR dan sebagainya.

Tiada ulasan: